Atlet skuasy negara, Noor Ainaa Amani Ampandi, menampilkan persembahan memukau selepas muncul juara kategori individu wanita menewaskan wakil Universiti Sunway, Goh Zhi Xuan, dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 di Sintok, Kedah.

Aksi debutnya itu menyaksikan Ainaa Amani memenangi perlawanan dengan keputusan 11-1, 11-2, 11-2 untuk menggondol pingat emas sekali gus menambah koleksi pingat buat Universiti Putra Malaysia (UPM).

Meskipun baru sahaja menjuarai jelajah Cabaran Ace 12K di Pusat Tenis Jalan Duta minggu lalu, Ainaa Amani ternyata tiada masalah berdepan jadual yang cukup padat demi memastikan dirinya berada dalam keadaan terbaik.



"Bila sudah melepasi pertandingan lalu, saya turut bermain seperti biasa kerana ini merupakan debut saya di SUKIPT mewakili UPM dan paling penting dapat meningkatkan ketahanan mental meskipun penat belum hilang.

"Oktober depan saya akan terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai beberapa siri pertandingan dan akan berjumpa pemain terkemuka dunia," katanya.