Bekas pengendali Bayern Munich, Thomas Tuchel, tidak mahu kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan meskipun menerima tawaran daripada beberapa kelab gergasi England di sana.

Menurut kemas kini terbaru wartawan bola sepak terkemuka, Fabrizio Romano, bekas jurulatih Chelsea itu tiada perancangan untuk mengambil tugasan selaku pengurus untuk juara Piala FA Inggeris, Manchester United.

Perbincangan di antara kedua-dua wakil tersebut dilihat menemui jalan buntu sekali gus membuatkan Tuchel menarik diri selepas beberapa siri pertemuan diadakan minggu lalu.

Malah, individu berusia 50 tahun itu, memberitahu bahawa dia mahu 'berehat' seketika daripada melatih mana-mana pasukan sepanjang musim panas ini.

Dalam masa sama, spekulasi dan tanda tanya terus menghantui masa depan jurulatih kelahiran Belanda, Erik ten Hag, yang masih menunggu jawapan daripada pihak pengurusan tertinggi Manchester United mengenai kerjayanya di kelab itu.