Roberto Martinez mengesahkan bahawa Cristiano Ronaldo akan membarisi kesebelasan utama Portugal menjelang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F, Euro 2024 menentang Georgia awal pagi esok bagi mencipta satu lagi sejarah dunia.

Seandainya diturunkan, kapten Portugal itu akan menjadi pemain Eropah pertama melakukan 50 penampilan dalam kejohanan utama dan aksi menentang Georgia itu juga akan menjadi penampilannya yang ke-28 dalam Euro.

Selecao sudahpun mengesahkan kemaraan ke psuingan 16 selaku juara Kumpulan F selepas kemenangan 3-0 ke atas Turkiye dan 2-1 ke atas Czechia sebelum ini.

Dengan itu, Martinez dijangka akan merehatkan barisan utamanya tetapi pengurus berbangsa Sepanyol berkenaan dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Ronaldo bukanlah pemain yang akan direhatkan.

"Saya boleh katakan yang kapten kami akan berada bersama pasukan pemula. Ia amat penting. Dia hanya beraksi satu perlawanan persediaan.

"Musimnya amat konsisten dan dia bermain dalam setiap perlawanan. Dia memiliki banyak minit permainan bersama kelabnya.

"Untuk meneruskan rentak kompetitifnya, ia tidak bagus untuk menghentikannya ketika ini dan kembali beraksi selepas enam hari.

"Kami bersedia untuk memenangi perlawanan ini. Saya percaya integriti kejohanan ini amat penting," katanya.