Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino menegaskan bahawa semua pihak termasuk penyokong The Blues khasnya tidak seharusnya terkejut dengan prestasi terbaru kelab London tersebut.

Malah jelas Pochettino, kemenangan ke atas Brighton merupakan keberhasilan proses yang sedang dilalui jagoan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memastikan kelab itu kembali ke saingan bola sepak Eropah musim depan.

"Prestasi dari awal musim adalah baik. Sekarang hanya kerana kami memenangi perlawanan di sini, semua kelihatan bagus. Masalahnya ialah apabila segelintir orang hanya tahu menganalisis hasilnya bukan prosesnya.

"Saya sangat gembira untuk pemain-pemain dan mereka berhak mendapat pujian. Saya berasa sangat bangga.


"Tiga mata di sini membolehkan kami berharap dapat mencapai apa yang kami mahu, iaitu bermain di Eropah musim depan," akui Pochettino.

Sebagai rekod, Chelsea memulakan kempen EPL musim ini dengan satu kemenangan dari lima perlawanan, diikuti tiga selepas 10 perlawanan.

Kini The Blues yang masih dalam proses pembentukan menamatkan setiap perlawanan dengan lebih positif apabila hanya mengalami satu kekalahan dalam 14 perlawanan terakhir liga.

Kemenangan ke-17 musim ini The Blues menerusi gol dijelmakan Cole Palmer (m-34) dan Christopher Nkunku (m-64) sebelum The Seagulls mengurangkan defisit hasil sentuhan Danny Welbeck (m-97), untuk kedudukan 2-1 menaikan Chelsea di kedudukan keenam liga.

Tiga mata itu juga membawa Chelsea menanti kunjungan Bournemouth di Stadium Stamford Bridge, Ahad ini dengan impian melabuh tirai dengan slot Liga Europa musim depan.

Sementara itu, Brighton, yang berada di tangga ke-10, akan menamatkan musim di laman sendiri berdepan Manchester United yang mendapat tonik semangat selepas menewaskan Newcastle United, 3-2 di Stadium Old Trafford.
Tiga mata itu sekaligus memadam kekalahan Manchester United diaibkan 0-4 Crystal Palace (Selhurst Park) diikuti 0-1 kepada Arsenal (Old Trafford) sebelum ini. -- Sinar Harian