CHELSEA 5 BARROW 0

Christopher Nkunku menjaringkan hatrik ketika Chelsea mara ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) dengan menewaskan pendahulu League Two, Barrow, 5-0 di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Menggantikan tempat yang biasanya diisi Nicolas Jackson, Nkunku mencuri tumpuan dengan dua gol dalam separuh masa pertama sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-75 untuk menyemarakkan pesta jaringan tuan rumah.

Nkunku membuka jaringan seawal minit kelapan sebelum pemain kebangsaan Perancis itu menambah jaringan peribadinya pada minit ke-15 dan penjaga gol Barrow, Paul Farman, kemudian terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-28.

Pedro Neto kemudian menjadikan kedudukan 4-0 selepas waktu rehat dengan menolak masuk lintangan Mykhailo Mudryk.

Barrow mungkin menguasai saingan Divisyen 4 England tetapi hanya dapat melakukan satu percubaan ke gawang Chelsea dan Nkunku memastikan malam gemilang itu menjadi miliknya dengan menambah satu lagi gol berbaki 15 minit permainan.