Wakil beregu campuran muda negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, mengiringi Goh Soon Huat-Shevon Lai, ke peringkat seterusnya selepas membenam cabaran Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dengan kemenangan tiga set Kejohanan Badminton Terbuka India di Pusat Sukan Indira Gandhi, sebentar tadi.

Gandingan di ranking ketiga dunia itu terpaksa akur kepada ketangkasan wakil Thailand meskipun mengekori rapat kedudukan, namun pihak lawan lebih mendominasi permainan untuk mengakhiri set pertama 19-21.

Pilihan ketiga kejohanan itu tampak mempamerkan kebangkitan segera apabila menguasai keseluruhan gelanggang untuk mengikat set kedua 21-12, sekali gus menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.



Pertempuran semakin sengit tatkala kedua-dua gandingan memperaga aksi memukau sambil menonjolkan strategi berkesan selain sering bertukar servis apabila kedua-dua pihak kerap mengutip mata permainan.

Juara Terbuka Korea Selatan 2024 itu akhirnya berhasil memperoleh kemenangan pertama dalam pertemuan kedua mereka menentang wakil Thailand itu selepas menoktahkan keputusan positif 22-20 dalam kejohanan bertaraf super 750 itu.