Daniel Ricciardo mengakui sempat mengadakan perbincangan dengan Ferrari sebelum menyertai McLaren sebaik musim Formula Satu (F1) 2021 bermula.

Berikutan Sebastian Vettel dan pasukan Scuderia itu gagal mencapai kesepakatan untuk melanjutkan kontrak, Ricciardo dianggap sebagai salah seorang calon pemandu utama di samping Charles Leclerc.

Pemandu Australia itu mengharungi kempen suram dalam musim pertamanya di Renault manakala tahun keduanya bersama pasukannya itu masih belum bermula berikutan wabak Covid-19 yang menunda saingan musim ini hingga Julai depan.

Begitupun, dia memilih untuk memutuskan hubungan dengan pasukan Perancis itu dan biarpun telah mengadakan perbincangan dengan Ferrari, dia akhirnya memilih McLaren sambil Carlos Sainz meninggalkan pasukan berkenaan untuk menyertai Ferrari.




"Memang ada perbincangan (dengan Ferrari) sejak beberapa tahun yang lalu. Dan ia berlanjutan hingga sekarang," katanya kepada CNN.

"Jadi ya, saya tidak akan menafikannya. Tetapi jelas ia tidak pernah membuahkan hasil."

Ditanya mengapa dia tidak bergabung dengan pengeluar jentera Itali itu, Ricciardo menjawab: "Saya tidak pasti sebenarnya dan saya tidak terlalu memikirkannya.

"Semua orang mengatakan ia satu langkah yang sesuai berikutan nama dan semua latar belakang saya. Tetapi saya cuba untuk tidak terjebak dalam situasi apa pun.

"Saya melihat bagaimana Carlos menyesuaikan diri bersama pasukan itu. Jadi saya tidak begitu memikirkan mengenai 'mengapa saya tidak?'

"Saya beranggapan bahawa Carlos telah mengharungi musim 2019 yang amat memberangsangkan dan dia sedang hangat di pasaran, jadi saya rasa ia langkah yang sangat sesuai buatnya."