Malaysia memastikan tempat ke final Pestabola Merdeka selepas melakarkan kemenangan 4-2 ke atas India dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Ternyata keputusan pengadil perlawanan, Mongkolchai Pechsri, menafikan jaringan ketiga India walaupun ia telah melepasi garisan ternyata menjadi salah satu perkara yang perlu dibincangkan dalam kemenangan Malaysia malam ini.

Malaysia, yang berada di ranking 134 dunia, menerima kunjungan India, dalam aksi memburu slot ke final Pestabola Merdeka edisi ke-10.

Pelawat awal menghidu peluang untuk memecah kebuntuan apabila India seawal minit pertama menyinggah ke palang gol yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Bagaimanapun, skuad kendalian Kim Pan-gon memastikan permulaan cemerlang di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan jaringan yang pada minit ketujuh yang disempurnakan Dion Cools.

Enam minit berselang, Mahesh Naorem menyamakan kedudukan, rembatan deras gagal ditampan keluar penjaga gol skuad negara, Syihan Hazmi.

Malaysia kembali mengatur gerakan dan hasilnya sepakan penalti selepas Darren Lok dikasari minit ke-18 dan disempurnakan oleh Arif Aiman Md Hanapi.

Faisal Halim kemudian tenang melebarkan jurang kepada 3-1 menuju rehat selepas, yang juga gol ke-13 bersama skuad kebangsaan sejak 2019.

Enam minit bersambung separuh masa kedua, kapten India, Sunnil Chettri, merapatkan kedudukan dengan serangan pantas memerangkap Syihan buat kali kedua.

Ketika momentum memihak India, mereka berpeluang untuk menjadikan kedudukan 3-3 namun percubaan mereka yang kelihatan sudah melepasi garisan namun pengadil, Mongkolchai tidak memberikannya kepada pelawat sehingga menjejaskan rentak permainan.

Malaysia menggunakan peluang tersebut untuk kembali menjarakkan kedudukan apabila Corbin Ong turut mencetak nama selaku penjaring selepas bijak sempurnakan umpanan Faisal dari sebelah kanan untuk 4-2.

India mengasak kubu pertahanan skuad kebangsaan sehingga penghujung permainan namun mereka kekal bertahan sebelum memastikan kemenangan 4-2 dan melangkah ke final berdepan Tajikistan 17 Oktober ini.