Jaguh lompat jauh T20 negara, Datuk Abdul Latif Romly, semestinya menjadi tumpuan utama ketika ini untuk menambah koleksi pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024.

Menjelang acara penutupan temasya itu, Latif dikejutkan dengan kehadiran isteri tercinta, Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi, yang bakal turun ke stadium bagi menyaksikan Latif beraksi buat kali pertama sejak membina mahligai cinta pada 2022.

Perkembangan ini semestinya akan menyuntik motivasi dan keyakinan Latif dalam misi untuk melengkapkan hattrick pingat emas Paralimpik selepas mencipta sensasi di Rio De Janeiro dan Tokyo sebelum ini.




Dia menyasarkan lompatan sejauh 7.70 meter sekali gus catatan itu bakal membawa kepada lakaran sejarah rekod dunia baru bagi memperbaharui rekod miliknya yang dicatat pada 2016 iaitu 7.60 meter.

"Kehadiran isteri dan ibu mertua menjadi pembakar semangat, saya ingin bawa ibu-bapa tetapi atas faktor kesihatan mereka tidak dapat turut serta.

"Kehadiran mereka semua akan beri pembakar semangat unttuk beri aksi terbaik, walaupun sebelum ini rindu tetapi selepas kehadiran mereka dapat menghilangkan rindu.



"Saya memang mahu beri lompatan yang terbaik di Paris, kerana di Tokyo saya cedera. Jika diizinkanNya, saya akan beri yang terbaik." katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.