Ketiadaan jurulatih untuk persiapan ke Sukan SEA 2025 menggusarkan atlet baling tukul besi wanita negara, Nurul Hidayah Lukman, yang ketika ini berlatih di UPM menjelang pertandingan sepanjang tahun depan.

Nurul Hidayah yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kemboja berharap ada sinar untuknya mendapatkan jurulatih menjelang sukan dwitahunan itu pada akhir tahun depan.

"Buat masa ini saya tiada jurulatih tetap selepas ketiadaan Gu Yuan.

"Ada juga jurulatih lain yang cuba untuk menggalas jawatan itu tapi kami sendiri tidak tahu status sebenar.

"Sekarang kami cuma ikut balik program yang pernah dijalani sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Dia yang ditemui dalam acara baling tukul besi wanita diamond tiada masalah untuk dinobatkan sebagai juara Kejohanan Olahraga Varsity Grand Final selepas mencatat 48.44 meter dalam balingan terakhirnya.

Walaupun jauh daripada catatan terbaik, Nurul Hidayah tetap berpuas hati apabila mengambil kira keadaannya yang baru sahaja kembali daripada kecederaan.

"Saya berpuas hati selepas tiga bulan fokus kepada pemulihan.




"Saya tetap berpuas hati dengan catatan yang hampir dengan balingan peribadi terbaik saya, 52 meter," katanya lagi.