Kejohanan Olahraga Varsity Grand Final 2024 mengukir kenangan berharga buat setiap atlet yang menyertainya di Terengganu, minggu lalu.

Pemenang dua pingat emas, Nani Sahirah Maryata, berkongsi kegembiraan dapat memecahkan rekod dalam lontar peluru melonjakkan semangatnya menjelang Kejohanan Olahraga Cahya Mata Sarawak Super Series Final yang akan berlangsung di Stadium Petra Jaya Kuching, Sarawak, hujung minggu ini.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Nani menjelaskan bahawa tiada sebarang sasaran untuk melakukan kejutan, malah sedikit tertekan apabila balingan awalnya tidak mencapai jangkaan yang diharapkan.




"Jika saya kurang semangat ketika itu dan tiada siapa yang boleh membantu ketika itu, saya harus menguatkan diri dan meniup motivasi kepada diri sendiri," katanya dalam segmen tetamu jemputan Nadi Arena.

Dalam masa sama, Kamal Farhan Rahman yang dinobatkan selaku olahragawan kejohanan juga terkejut dengan pencapaian yang diraihnya selepas mengalami kecederaan ketika Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, September lalu.

Menurut Kamal, kejayaan memecahkan rekod acara lontar peluru merupakan perkara yang tidak disangka-sangka kerana secara peribadinya, ia bukanlah acara pilihan buat dirinya.