Persatuan Kriket Malaysia akan menggunakan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada belanjawan 2025 secara sewajarnya, yang akan merangkumi persiapan pasukan, termasuk pelbagai kategori, serta menaik taraf kemudahan seperti lokasi pertandingan dan kelengkapan pasukan.

Sebagai tindakan susulan, Menteri Belia Sukan, Hannah Yeoh, menyeru pihak swasta untuk melabur dalam sukan-sukan lain kerana mempunyai potensi yang besar.

"Setakat ini, hanya RM1 juta diperuntukkan seperti yang diumumkan dan dibahaskan dalam Parlimen.

"Walau bagaimanapun, peningkatan baru-baru ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah penambahan sebanyak 15 juta ringgit khusus untuk Harimau Malaya."

"Sehubungan itu, saya ingin memberikan jemputan kepada pihak swasta di luar sana kerana banyak lagi sukan lain yang berpotensi besar, seperti kriket, yang memiliki asas permainan yang kukuh serta jumlah penonton yang tinggi," kata Hannah Yeoh Menteri Belia Sukan.

Dalam Pada itu, pemain kriket muda negara, Nuranis Syahira Abdullah, menjelaskan tugasan ini umpama misi serampang dua mata susulan seramai lapan pemain kriket muda negara menghadapi situasi sukar apabila perlu menumpukan dua fokus dalam satu masa.

Mereka sedang menyertai Kejohanan Piala Dunia Kriket T20 Wanita B-19, sambil tidak mengabaikan tumpuan ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

"Ini adalah cabaran besar untuk kami hadapi kerana bukan mudah untuk menguruskan semuanya. Namun, kami cuba mengambil masa untuk belajar dan, apabila tiba waktu perlawanan, kami akan fokus sepenuhnya kepada permainan dan memberi komitmen yang serius.

"Selepas tamat perlawanan, kami akan kembali memberi tumpuan kepada persediaan SPM. Memang tidak mudah untuk memikirkan dua perkara serentak, tetapi kami tetap berusaha untuk belajar.”

"Kami memastikan ada masa yang dikhaskan untuk belajar sambil berusaha mengurus masa dengan baik dan menyeimbangkan antara SPM dan komitmen terhadap permainan.”

"Selain itu, kami sangat bersyukur kerana memiliki pasukan yang saling menyokong dan jurulatih yang amat memahami.”

"Dengan sokongan ini, kami akan terus berusaha menguruskan semuanya dengan sebaik mungkin,” tambahnya.