Roberto Mancini berikrar untuk membawa Zenit kembali ke Liga Juara-Juara Eropah apabila dia dialu-alukan sebagai ketua jurulatih baru skuad itu, hari ini.

Kelab itu menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Liga Perdana Russia -- cukup baik hanya untuk kelayakan Liga Europa -- buat musim kedua berturut-turut pada 2016/17, dengan Mircea Lucescu meninggalkan pasukan pada akhir kempen.

Dan Mancini yang dilantik menggantikannya berazam untuk memberikan kejayaan di Zenit.

"Dalam beberapa bulan ini, saya akan bertanya khabar kepada anda di Russia," kata bekas pengurus Manchester City itu kepada penyokong. "Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di atas sambutan ini. Saya tahu peminat Zenit adalah luar biasa tetapi tidak fikir mereka seperti ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada presiden yang akan memberikan sokongan hebat. Jika Zenit menjadi salah sebuah kelab paling penting di dunia, ia adalah untuk dia, terutamanya.

"Kelab akan memberi sokongan untuk memastikan skuad kembali kepada rentak kemenangan dan layak ke Liga Juara-Juara kerana kejohanan itu adalah milik Zenit.

"Kami akan melakukan yang terbaik dan cuba membawa Zenit kembali ke puncak liga. Ia akan menjadi kerja keras tetapi saya yakin bahawa semua bersama-sama, kami boleh melakukannya."

Mancini kali terakhir bertanggungjawab di Inter Milan tetapi meninggalkan pasukan Ogos lalu selepas skuad itu mempamer aksi lemah pada pra-musim.