Pemenang Piala Dunia dan bekas pemain AC Milan, Cristian Zaccardo, berazam untuk mencari kelab dan dia menggunakan jaringan LinkedIn untuk melakukannya.

Zaccardo adalah sebahagian daripada pasukan Itali yang menjulang trofi Piala Dunia pada 2006 tetapi pemain berusia 35 tahun itu kini tidak mempunyai pasukan.

Pemain veteran Itali itu bermain untuk Vicenza pada musim lalu tetapi dia tidak dapat mengelakkan penyingkiran daripada Serie B.

Dan Zaccardo kini menggunakan LinkedIn -- satu perkhidmatan rangkaian profesional yang membolehkan pencari kerja menghantar resume mereka di atas talian -- apabila dilihat mahu melanjutkan kerjayanya.

"Saya membatalkan kontrak yang mengikat saya di Vicenza sehingga Jun 2018... Saya kini pemain bola sepak bebas," tulis Zaccardo dalam Bahasa Inggeris dan Itali dalam laman media sosial.

"Saya masih baik daripada segi fizikal, saya boleh bermain dua tahun lagi di peringkat tinggi... Siapa mahu ambil saya untuk buat perjanjian... Pemain bola sepak profesional yang serius dan kuat!!!"

Zaccardo membuat 17 penampilan antarabangsa untuk Itali, tiga daripadanya adalah perlawanan Piala Dunia 2006.

Dalam kerjayanya, Zaccardo juga bermain untuk Bologna, Palermo dan Wolfsburg -- di mana dia memenangi Bundesliga pada 2008-09 -- Parma dan Carpi.