Yaya Toure menyasarkan jawatan pengurusan tertinggi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengambil langkah seterusnya dalam kariernya apabila bertindak sebagai penolong jurulatih di Standard Liege.

Jurulatih berusia 40 tahun itu yang pernah membintangi Manchester City itu menyertai kakitangan skuad kendalian Carl Hoefkens di kelab Belgium berkenaan selepas melatih Tottenham B-16.

Toure menikmati tempohnya di Hotspur Way sambil mengakui suatu hari nanti berharap untuk kembali ke sana, namun berasakan kini adalah masa yang tepat untuk berhijrah dan membimbing skuad utama.

Dia gembira dapat menimba ilmu daripada Hoefkens tetapi dia mempunyai keinginan untuk menjadi pengurus pada masa hadapan.

"100 peratus, itulah rancangan dan idea saya." katanya kepada agensi berita PA.



“Saya perlu membuat langkah demi langkah, saya dalam proses pembelajaran.

“Saya sangat terbuka tentang segala-galanya, saya hanya mahu meneruskan apa yang saya lakukan.

“Mengapa tidak ke EPL? Saya tidak tahu berapa lama ia akan mengambil masa, mungkin lambat laun tapi saya sentiasa bersikap terbuka.

“Saya tahu ia akan menjadi satu cabaran besar dan tugas jurulatih menjadi lebih sukar dan sukar.

"Selalunya anda boleh tengok seseorang jurulatih itu hanya mampu bertahan selama empat atau lima bulan. Itulah keadaan sekarang, itulah realitinya.

“Bagi saya, saya cukup sabar, saya cuma perlu berhati-hati dan mengambil langkah yang betul.

"Itulah sebabnya saya berkelana ke Belgium kerana saya mahu belajar daripada jurulatih terkemuka seperti Carl yang mempunyai pengalaman luas.”