BELANDA 3 WALES 2

Memphis Depay memastikan kemenangan 3-2 Belanda ke atas Wales dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Rotterdam, yang penuh dengan drama pada lewat permainan, termasuk jaringan penyamaan Gareth Bale pada minit ke-92, awal pagi tadi.

Gol daripada Cody Gakpo dan Noa Lang memberikan tuan rumah kelebihan selesa dalam babak pertama tetapi jaringan Brennan Johnson dalam separuh masa berikutnya dan gol sepakan penalti Bale dalam waktu kecederaan kelihatan akan memberikan Wales satu mata daripada perlawanan itu.

Bagaimanapun, tonggak serangan Oranje, Depay, tanpa diduga masih sempat menjaringkan gol kemenangan buat pasukannya untuk memberikan keraian luar biasa di De Kuip.

Kemenangan ketiga daripada empat perlawanan itu menyaksikan Belanda kekal selaku pendahulu Kumpulan A4 manakala Wales pula terperosok di tangga terbawah tanpa sebarang kemenangan.