Ketua jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, meluahkan perasaan bercampur baurnya tatkala berbangga dengan anak buah tetapi juga kecewa tidak memanfaatkan kelebihan dua gol yang berkesudahan seri 2-2 menentang Aston Villa di Stadium Emirates, semalam.

Keputusan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyaksikan kedudukan Arsenal dibezakan enam mata terhadap pendahulu terkini, Liverpool, yang masih mempunyai baki satu aksi.

Jaringan Gabriel Martinelli dan Kai Havertz gagal dipertahankan dengan baik selepas Youri Tielemans dan Ollie Watkins menyamakan defisit gol pada separuh masa kedua untuk masing-masing berpuas hati dengan satu mata.

Untuk rekod, The Gunners telah kehilangan sebanyak 12 mata maksimum sejak musim 2019/20.



Walaupun keputusan seri itu melebarkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam liga kepada 12 perlawanan, Arteta percaya pasukannya berhak memperoleh keputusan positif.

"Kami sangat sukar dipercayai. Saya sangat berbangga dengan cara kami bermain dan betapa dominannya kami serta berapa banyak percubaan yang kami lakukan.

"Kami bermain tiga perlawanan dalam masa enam hari. Saya sangat memuji pemain, tetapi pada masa sama sangat kecewa. Kami berhak mendapat lebih.

"Kepantasan, tenaga, kualiti dan tahap persembahan. Ia adalah permainan terbaik yang kami ada menentang Villa kerana mereka pasukan yang sangat bagus," katanya kepada media antarabangsa.

Diikat skuad kendalian Unai Emery, ia adalah kali pertama mereka gagal memenangi perlawanan di tempat sendiri selepas mendahului dengan dua gol sejak Oktober 2019 ketika seri berdepan Crystal Palace.

"Kami tidak mencapai piawaian yang kami tuntut," tambahnya.

Arsenal seterusnya akan menentang Dinamo Zagreb dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL), di mana mereka telah mengumpul 13 mata daripada enam perlawanan.