TOULOUSE 3 LIVERPOOL 2

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui lebih gusar memikirkan mengenai kerapuhan pertahanan pasukannya berbanding menyalahkan video bantuan pengadil (VAR) ketika tewas 2-3 kepada Toulouse dalam perlawanan Liga Europa (UEL) di tempat lawan awal pagi tadi.

Kesilapan individu dan kurangnya persefahaman secara kolektif menyaksikan pasukan pelawat itu ketinggalan 1-3 menuju ke penghujung aksi tetapi jaringan Diogo Jota pada minit ke-89 selepas Cristian Casseres terjaring bola ke gawang sendiri menghidupkan peluang The Reds untuk memburu penamat dramatik.

Pada minit terakhir waktu kecederaan, pertahanan muda, Jarell Quansah, sepatutnya telah menjaringkan gol penyamaan Liverpool tetapi selepas tempoh panjang yang diambil pengadil, Georgi Kabakov, untuk melakukan semakan di monitor tepi padang, jaringan berkenaan dibatalkan kerana bola didakwa terlebih dahulu terkena tangan Alexis Mac Allister.

Bagaimanapun, rakaman jelas menunjukkan bola terkena dada pemain berkenaan sebelum jaringan itu dihasilkan.

"Saya baru sahaja melihat video rakaman itu dan bagi saya ia bukan bola terkena tangan tetapi bagaimana saya boleh mengubah keputusan itu?" kata Klopp.

"Sebenarnya, secara jujur saya lebih gusar mengenai fakta bahawa saya lebih gemar sekiranya kami bermain dengan lebih baik. Itu isu utama saya malam ini.

"Pada akhirnya, kami sudah berusaha, kami memberikan segalanya tetapi masalah dalam perlawanan seperti ini, anda perlu melakukan sesuatu yang tepat pada moment yang tepat untuk segalanya menjadi," katanya.