NEWCASTLE 0 DORTMUND 1

Eddie Howe berasakan Newcastle United menerima pengajaran berguna untuk mengukur jurang mereka dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila Borussia Dortmund menghadiahkan kekalahan pertama kepada The Magpies, awal pagi tadi.


Selepas seri tanpa jaringan di AC Milan dan mencatat kemenangan 4-1 ke atas Paris St Germain (PSG), penyudah Felix Nmecha memberikan Dortmund kemenangan 1-0 untuk Newcastle kembali berpijak di bumi yang nyata.

Pada malam yang dihujani hujan di St James’ Park itu, Callum Wilson dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol, Gregor Kobel, sementara dua percubaan mereka terkena tiang termasuk rembatan melencong Anthony Gordon.

Newcastle, bagaimanapun, kurang menyengat untuk rekod sembilan perlawanan tanpa kalah kebelakangan ini lebur untuk meletakkan mereka di tempat ketiga Kumpulan F, menyamai pungutan empat mata milik Dortmund dan dua mata di belakang PSG yang mendahului carta.

“Ia sentiasa menjadi membabitkan jurang kecil,” kata pengurus Newcastle itu.



“Terdapat pasukan berkualiti tinggi dalam kumpulan ini. Malam ini merupakan satu tamparan buat kami, lebih-lebih lagi tewas di laman sendiri. Jadi ia satu pengajaran tentang betapa jurang ini boleh menjadi pembezanya.

“Bola tidak mahu bergolek ke gawang. Itu salah satu punca kami tewas malam ini. Callum mempunyai peluang pertama dalam separuh masa kedua, itu adalah peluang yang bagus dan dua percubaan kami terkena palang tetapi anda tidak mampu memaksa boleh itu masuk.

“Pujian kepada pemain, kami tidak pernah berputus asa, kami terus melakukan perkara yang betul. Kami mencipta peluang tetapi kami perlu melakukan yang terbaik untuk menang dan selain daripada itu, sukar untuk meraih keputusan positif di tahap seperti ini.

“Sebarang kesilapan yang dilakukan boleh dihukum. Kami melakukannya dan sekelip mata kami dibolosi malah kami bagaikan pasrah.

"Jadi ada perkara yang patut kami lakukannya dengan lebih baik lagi dan apabila kami menganalisis perlawanan ini, kami akan mengambil banyak pengajaran daripadanya.”

Newcastle bertambah malang apabila Alexander Isak dilanda kecederaan paha sementara pemain gantian, Jacob Murphy, mengalami patah bahu.