Kelab Ligue 1, Rennes, mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menandatangani Ismaila Sarr dari Metz selepas pemain sayap Senegal itu menolak untuk berhijrah ke Barcelona.

Sarr menyertai skuad kendalian Christian Gourcuff itu melalui kontrak selama empat tahun selepas berasakan terlalu awal untuknya ke Sepanyol.

Sarr menyertai Metz pada musim lepas dan berjaya menjaringkan lima gol dalam saingan liga, namun kini bersedia untuk menyinar di bawah kendalian Gourcuff.

“Saya meninggalkan Senegal pada tahun lalu untuk ke Metz, tinggalkan keluarga di sana dan perlu membiasakan diri dengan persekitaran.

“Hari ini saya amat gembira dan keluarga saya turut berbangga,” ujar Sarr.

Rennes terpaksa bersaing dengan beberapa kelab untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 19 tahun itu dan antara pasukan yang berminat adalah Barcelona.

Bagaimanapun, Sarr memilih untuk ke Rennes selepas memikirkan beberapa perkara.

“Rennes adalah pasukan yang mampu membantu saya untuk berkembang.

“Bagi saya, belum tiba masanya untuk berhijrah ke Barcelona,” ujarnya.