Kylian Mbappe gembira kerana berjaya meledak gol dalam penampilan sulungnya bersama Paris Saint-Germain (PSG) ketika menewaskan Metz 5-1 dalam saingan Ligue 1, semalam.

Pemain pinjaman dari Monaco itu yang bakal menjadi pemain tetap PSG musim hadapan, menjaringkan gol kedua untuk PSG di Stade Municipal Saint-Symphorien.

Edinson Cavani meledak dua gol di samping Neymar dan Lucas Moura turut menemui sasaran bagi memastikan kemenangan kelima berturut-turut sejak pembukaan musim, sekaligus menjadikan mereka pasukan pilihan untuk meraih gelaran liga."Ia merupakan gol yang cantik," kata Mbappe.

"Saya mahu melakukan hantaran kepada Neymar tetapi pertahanan lawan telah memintas bola tersebut dan saya bertindak pantas untuk melepaskan rembatan dan ia berjaya menewaskan penjaga gol.

"Saya sentiasa mahu beraksi bersama pemain-pemain yang berkualiti. Saya sedang berusaha untuk menjadi yang terbaik bagi membantu pasukan meraih kemenangan di pentas domestik dan di Eropah.

"Apa yang saya mahukan adalah berada di atas padang tetapi jurulatih yang membuat keputusan. Saya hanya menikmatinya. Saya sangat gembira dengan persembahan saya."

Berikutnya, PSG akan membuat kunjungan ke Celtic sambil mereka memulakan kempen dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di mana pengurus, Unai Emery, berada di bawah tekanan untuk berjaya.