Sri Pahang FC hari ini mengumumkan pelantikan Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih interim bagi menggantikan Christophe Gamel sehingga penghujung musim ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu sebentar tadi, Sri Pahang mengesahkan khidmat Gamel tidak dapat diteruskan selain turut mengumumkan pelantikan legenda bolasepak Singapura, Fandi Ahmad, sebagai penasihat teknikal.

"Kelab Bolasepak Sri Pahang mengumumkan bahawa pengurus pasukan, Dollah Salleh, telah dilantik sebagai ketua jurulatih interim pasukan Liga Super Sri Pahang sehingga akhir musim ini.

"Beliau mengambil alih tugasan daripada Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmatnya.

"Kelab ini juga mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Christophe Gamel.

"Sri Pahang turut berbesar hati mengumumkan Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal.

"Fandi bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang, di mana beliau pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua musim dan merupakan anggota skuad kejuaraan berganda Liga Perdana dan Piala Malaysia 1992.

"Semoga kepakaran dan pengalaman Fandi Ahmad akan memanfaatkan pasukan Sri Pahang," kata Kenyataan itu.