"Jangan biar Johor Darul Ta'zim (JDT) buli Negeri Sembilan." Itu peringatan ringkas pengendali Negeri Sembilan, Azzmi Ab Aziz kepada pemain skuad Rusa yang menyingkap tirai Liga Super 2024/25 berdepan penyandang juara itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang ini.

Menyifatkan berdepan Harimau Selatan pada aksi awal pembuka gelanggang liga satu penghormatan buat skuad Hoben Jang Hoben, Azzmi turut menegaskan, aksi sebelah petang di laman keramat juara 10 kali berturut-turut liga itu juga peluang untuk beliau melihat keberhasilan persiapan rapi dilakukan pasukan pelawat sebelum ini.

"Alhamdulillah, fizikal dan mental serta motivasi pemain Negeri Sembilan berada pada tahap terbaik berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, selain syukur pemain-pemain bebas kecederaan.

"JDT seperti semua maklum pasukan yang sangat bagus dan terbaik liga, jadi untuk berdepan pasukan berkualiti seperti JDT, kami perlu persiapkan pasukan dengan 'treatment' lebih teliti dan fokus sepanjang permainan.

"Paling penting Negeri Sembilan hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dengan strategi pasukan berdasarkan kekuatan dan kemampuan sendiri, saya serta barisan kejurulatihan harap pemain-pemain diturunkan dapat 'execute' sebaik mungkin.





"Harapan saya juga pemain-pemain Negeri Sembilan dapat 'settle down' segera semasa perlawanan bagi memastikan setiap inci ruang untuk JDT membuli kita ditutup rapat lebih awal, jadi adalah penting pemain-pemain lebih fokus dan berdisiplin," katanya yang dilantik mengemudi Negeri Sembilan pada Mac lalu kepada Sukan Sinar.

Mengenai undian Piala FA 2024/25 yang menyaksikan Negeri Sembilan akan bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya berdepan Selangor FC pada pusingan 16 Azzmi berkata: "Selangor antara pasukan serba serbi lengkap musim ini, dan saya percaya satu lagi cabaran buat Negeri Sembilan.

"Apa pun tumpuan Negeri Sembilan kini adalah JDT sebelum berdepan Selangor di Petaling Jaya pada perlawanan kedua selepas ini."

-- Sinar Harian