Danny Welbeck mendedahkan bahawa pengurus England, Gareth Southgate, telah menerapkan konsep permainan yang membolehkan daya kreativiti pasukan dipamerkan.

Senarai 23 pemain yang dipilih Southgate mungkin hanya memiliki 11 penampilan dalam Piala Dunia untuk menuju ke Russia tetapi pengurus itu sentiasa yakin dengan bakat yang dimiliki pemain-pemainnya sambil menuntut agar skuad England tidak takut untuk melakukan kesilapan.

Situasi itu telah mewujudkan persekitaran baru dalam pasukan The Three Lions dan menurut Welbeck, mereka kini bersemangat untuk menunjukkan kualiti sebenar di peringkat antarabangsa.

"Southgate menuntut agar kami mempamerkan kebolehan sendiri dan beraksi hebat di atas padang. Dia juga menekankan bahawa dalam bola sepak semua kesilapan boleh berlaku, sama seperti dalam kehidupan harian," kata Welbeck.

"Ia adalah tentang apa yang anda pelajari daripadanya dan bertindak selepas itu.

"Jelas sekali, lebih baik untuk tidak melakukan kesilapan tetapi jika mahu mempamerkan kualiti sebenar, mungkin ia akan berlaku beberapa kali seperti kesilapan hantaran dan sentuhan.

"Ia memberikan anda kebebasan untuk beraksi di atas padang," ujarnya.

Selepas mengutip kemenangan dalam aksi pemanas badan sewaktu berdepan Nigeria dan Costa Rica, England bakal memulakan cabaran Piala Dunia 2018 bertemu Tunisia pada 18 Jun depan di Volgograd.