Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai dalam Festival Senibina Dunia di Jerman.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman, menyifatkannya sebagai kejayaan awal negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan.

SNBJ merupakan antara 17 bangunan ikonik dunia yang tersenarai sebagai finalis festival senibina dunia di Arena Berlin, Jerman yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 November ini.

Ia membuktikan pelaburan jutaan ringgit untuk membangunkan KL Sports City menjelang temasya bulan depan berjaya meningkatkan martabat sukan negara.

Malah, kejayaan itu mampu membakar semangat kontinjen negara untuk memburu gelaran juara keseluruhan Sukan SEA selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2001.

"Pencalonan itu amat sukar untuk diraih dan walaupun kemenangan bukan sesuatu yang mudah, bagi saya kita sudah menang kerana tercalon," ujar Azman.

Stadium Nasional Bukit Jalil dicalonkan dalam kategori bagunan baru serta lama dan lebih menarik, ia kali pertama bangunan ikonik sukan negara tersenarai dalam Festival Senibina Dunia sejak dibina pada tahun 1994.

"Apabila diiktiraf sebagai salah satu projek yang disenarai pendek daripada ratusan projek, ia adalah pengiktirafan yang besar buat Kuala Lumpur.

"Apa yang penting adalah kita jaga kompleks ini selepas selesai Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.