Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menegaskan tiket bagi setiap acara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, khususnya bola sepak, kini mudah didapati bagi memudahkan penyokong untuk hadir ke stadium menyaksikan perlawanan.

Malaysia bakal beraksi untuk perlawanan kedua Kumpulan A menentang Singapura esok dan pertemuan itu dijangka menjadi tumpuan semua penyokong bola sepak tanah air.

Sehubungan itu, kaunter penjualan tiket akan dibuka enam jam sebelum sepak mula perlawanan bagi memudahkan peminat mendapatkan tiket.

“Hasil pengalaman di Shah Alam malam tadi, kita nampak berlaku sedikit kesesakan dan saya telah mengarahkan agar stadium dibuka lebih awal untuk memudahkan pembelian tiket menjadi lebih cepat,” katanya.

Khairy berkata demikian selepas merasmikan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) bertemakan sukan serta pelancaran panduan perjalanan Rapid di Bukit Jalil.

Beliau menyambut keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di perkarangan masuk orang kenamaan Stadium Nasional selepas baginda berkenan untuk mencemar duli ke KL Sports City bagi meninjau persediaan sempena saingan Sukan SEA.

Sejurus kemudian, Khairy melakukan lawatan ke Pusat Skuasy Nasional untuk memberikan kata-kata semangat buat skuad skuasy negara sambil memberikan jaminan bahawa semua venue pertandingan akan mencapai tahap terbaik sebelum saingan bermula.

“Persiapan venue masih berjalan. Ada venue yang masih perlu dihiaskan tetapi dari segi keperluan teknikal, segalanya telah selesai.

"Saya tidak boleh kata 100 peratus kerana venue di KLCC baru diserahkan kepada kami dua hari lepas.

"Yang pasti, ia akan sedia digunakan sewaktu pertandingan," tambahnya.