“Selangor FC tiada pilihan selain perlu mencari pengganti lebih baik atau setara untuk mengisi posisi ditinggalkan Brendan Gan.”

Itu luahan Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, selepas Gergasi Merah mengesahkan tidak lagi menggunakan jeneral padang Harimau Malaya, Brendan, bagi saingan Liga Malaysia 2024/25.

Malah, Mohd Faizal berkata, saingan Liga-M 2024/25 skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu lebih mencabar setelah mengesahkan penampilan semula di pentas Asia, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), buat kali pertama selepas lapan tahun.

“Sejujurnya saya agak terkejut apabila pemain berpengalaman seperti Brendan, yang merupakan aset penting Selangor FC, tidak lagi bersama pasukan.

“Aura Brendan bersama Selangor ternyata memberi impak tambahan, tidak hanya kepada pasukan tetapi juga penyokong Gergasi Merah di stadium.

“Saya berharap pengganti dia atau setidak-tidaknya Brendan Gan 2.0 mestilah lebih baik, paling penting beri impak tinggi buat pasukan di pentas Liga Juara-Juara Asia 2.

“Seperti kita ketahui, bahagian tengah merupakan nadi penting menggerakkan pasukan khasnya mencipta peluang kepada pemain dalam memburu gol,” katanya.

Mohd Faizal juga berharap barisan kejurulatihan akan melakukan penilaian lebih teliti dalam mencari pemain bagi mengisi posisi penting ditinggalkan tonggak Harimau Malaya berkenaan.

"Patah tumbuh hilang berganti, sama seperti dengan Brendan Gan. Saya percaya kami penyokong akan merasai ketiadaan kelibat jeneral bahagian tengah Selangor ini.

"Bagi saya, tanpa bantuan gol Brendan Gan semasa aksi lawan Kedah Darul Aman di Alor Setar, Selangor sudah tentu tidak akan bergelar naib juara liga musim 2023.

"Saya ucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Brendan Gan. Perginya sang kapten tersohor secara terhormat legenda Merah Kuning," katanya.

--Sinar Harian