Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi, menggesa pasukannya untuk memperbaiki tumpuan menjelang kunjungan ke laman Torino awal pagi esok.

Inter tergelincir daripada kedudukan teratas Serie A selepas mensia-siakan kelebihan gol untuk diikat Bologna 2-2 di laman sendiri minggu lalu, sekali gus membenarkan seteru tradisi, AC Milan, memintas kedudukan mereka dengan kelebihan dua mata.

"Terdapat keperluan untuk memberikan tumpuan yang amat tinggi dan keinginan untuk melakukan yang terbaik kerana ada perlawanan yang amat sukar menanti kami. Ia amat getir," katanya kepada Inter TV.

"Kami berusaha keras untuk mendapatkan pertahanan yang teratur. Kedudukan dalam liga dan di peringkat Eropah menunjukkan kami melakukannya dengan baik tetapi kami perlu terus memperbaiki prestasi .

"Dalam perlawanan lalu, sebagai contoh, kami dibolosi dua gol yang amat jelas boleh dielakkan dan dengan itu, kami perlu memperbaiki prestasi dari hari ke hari.

"Seluruh pasukan ini perlu terlibat ketika bola bukan berada dalam penguasaan kami.

"Bersedia untuk perlawanan selepas waktu rehat antarabangsa tidak pernah mudah. Kebanyakan pemain sudah berada di sini sejak Rabu lalu, pemain Amerika Selatan juga sudah tiba semalam.

"Kita tahu Torino pasukan yang baik dengan jurulatih yang sudah tiga tahun bersama mereka. Kami memerlukan aksi terbaik Inter," katanya.