AC MILAN 0 EMPOLI 0

AC Milan terlepas peluang untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas apabila terikat 0-0 dengan Empoli dalam perlawanan Serie A di San Siro awal pagi tadi.

Rossoneri turun dalam perlawanan itu untuk memperkukuhkan peluang mereka dalam pemburuan penamat empat teratas musim ini selepas pesaing terdekat, Inter Milan, sekadar terikat 1-1 dengan Salernitana dalam perlawanan lebih awal.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Stefano Pioli itu turut berdepan nasib sama apabila skuad pelawat bimbingan Paolo Zanetti berkenaan jelas terlalu degil untuk mengalah biarpun dihujani pelbagai percubaan daripada barisan serangan Milan, termasuk jaringan lewat permainan Olivier Giroud yang dibatalkan pengadil kerana bola terkena tangan.

Ia merupakan satu kekecewaan buat pasukan tuan rumah itu, lebih-lebih lagi mereka akan berdepan pendahulu liga, Napoli, dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Khamis ini.