Pemain sayap Negeri Sembilan, Sean Selvaraj, berkata dia banyak belajar daripada figura lebih senior sewaktu bersama Selangor, termasuk pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan.

Sean pernah bergandingan bersama Brendan di Selangor dari 2020 hingga 2021 sebelum memilih untuk menyertai Negeri Sembilan tahun lalu.

Dalam rancangan Bola Itu Life terbitan Astro Arena, Sean dalam berseloroh turut berkata bahawa dia tidak menggemari Brendan tetapi mengakui amat rapat dengan pemain warisan negara itu.

"Saya tidak suka Brendan Gan -- gurau-gurau," katanya sambil disulami ketawa besar.

"Brendan seorang pemain yang amat rapat dengan saya. Dia banyak membantu saya.

"Benar, kita tidak boleh nafikan dia memiliki satu perwatakan yang amat kuat. Dia sudah melalui dua atau tiga kecederaan ACL dan barah tetapi masih dapat bangkit.

"Ketika di Selangor, ada satu ketika saya menjaringkan gol ke atas Penang dan saya dedikasikan jaringan itu kepadanya.

"Kerana sebenarnya ada beberapa pemain membotakkan kepala sebagai tanda sokongan kepada Brendan dan saya sudah berjumpa dengannya untuk memberitahu saya tidak boleh botakkan kepala saya kerana ia akan kelihatan pelik.

"Tetapi saya katakan kepadanya jika saya dapat menjaringkan gol, saya akan dedikasikan jaringan itu buatnya," katanya.