Bekas pemain Kelantan, Allee Putra Azril, menegaskan bahawah tiada istilah putus asa dalam kamus hidupnya untuk mengejar impian beraksi bersama kelab Eropah.

Pun begitu, penyerang berusia 19 tahun itu terpaksa pulang semula ke Tanah Air apabila hasrat untuk kekal lebih lama bersama Malaga City tidak kesampaian.

Sebaliknya, skuad bawah 23 tahun PDRM menjadi destinasi terbarunya demi meneruskan karier sebagai pemain bola sepak, sekali gus menonjolkan prestasi sebenar untuk ke Liga Super.



"Sepatutnya saya menyambung kontrak di Sepanyol tetapi ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan di sini termasuk bersama keluarga jadi saya memilih untuk tinggal di Malaysia dalam setahun dua.

"Alhamdulillah saya berterima kasih kepada PDRM kerana membuka pintu membawa saya masuk.

"Saya akan kembali ke Eropah demi mencapai cita-cita saya sebelum ini cuma buat masa sekarang fokus saya di sini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.