INTER MILAN 3 TORINO 2

Marcus Thuram menjaringkan hatrik ketika Inter Milan menewaskan 10 pemain Torino 3-2 dalam aksi Serie A di Stadio Giuseppe Meazza awal pagi tadi.

Kemenangan itu meletakkan Inter di tangga kedua liga dengan 14 mata dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Napoli.

Pertahanan pelawat, Guilermo Maripan, dilayangkan kad merah seawal minit ke-20 gara-gara terjahan lewatnya ke atas Thuram.

Inter kemudian memanfaatkan kelebihan sorang pemain itu untuk berada di depan menerusi tandukan Thuram, lima minit selepas layangan kad merah berkenaan.

Thuram menggandakan kelebihan Inter pada minit ke-35 dengan satu lagi tandukan jarak dekat tetapi Torino merapatkan jurang itu, di mana Duvan Zapata memanfaatkan kesilapan pertahanan tuan rumah untuk melakukan penyudah dari dalam petak penalti.

Thuram melengkapkan hatriknya menjelang sejam pemainan apabila menolak mudah bola muntah daripada penjaga gol, Vanja Milinkovic-Savic.

Penyerang Torino, Nikola Vlasic, kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada empat minit terakhir selepas Hakan Calhanoglu menjatuhkan Adam Masina tetapi pelawat gagal meraih jaringan penyamaan, sekali gus terpaksa pulang tanpa sebarang mata.