Pemain tengah Newcastle, Sandro Tonali, mungkin berdepan penggantungan bermain yang panjang selepas mengaku melanggar peraturan pertaruhan.

Tonali, yang ditandatangani oleh Newcastle daripada AC Milan pada Julai lalu berdepan disiasat oleh Pejabat Pendakwa Raya Itali dan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) "berkaitan dengan aktiviti pertaruhan haram".

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan salah seorang daripada beberapa pemain yang dinamakan dalam siasatan pertaruhan bola sepak Itali minggu lalu yang menyaksikan pemain tengah Juventus, Nicolo Fagioli, digantung tujuh bulan oleh badan induk berkenaan kerana melanggar peraturan pertaruhan.

Newcastle pada hari ini dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pemain itu sedang disiasat.

Kelab itu berkata: “Newcastle United mengesahkan bahawa Sandro Tonali tertakluk kepada siasatan oleh Pejabat Pendakwa Itali dan FIGC berhubung aktiviti pertaruhan haram.




“Sandro memberi kerjasama sepenuhnya dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan.

“Dia dan keluarganya akan terus menerima sokongan penuh kelab.

“Disebabkan proses ini masih diteruskan, Sandro dan Newcastle United tidak dapat memberikan ulasan lanjut buat masa ini.”

Tonali turut mencetak nama selaku penjaringan dalam kemenangan 5-1 di tempat sendiri pada hari pembukaan Magpies menentang Aston Villa sebelum membuat enam lagi penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tonali dilaporkan telah melalui proses pendengaran semalam yang melibatkan bekas kelabnya, Milan.