Jurgen Klopp menjangkakan Mohamed Salah akan bersedia untuk diturunkan dalam aksi menentang Manchester City malam esok sambil pengendali Liverpool itu mengelak untuk bercakap soal Daniel Sturridge dan Naby Keita.

Salah terlepas dua perlawanan sebelum ini akibat masalah kecederaan otot, namun pemain sayap Mesir itu sudah kembali menjalani latihan untuk berdepan City di laman sendiri.

"Jika tiada apa yang berlaku, Salah akan kembali. Dia kini sedang melalui proses latihan normal dan itu sangat penting buat kami.

"Jordan Henderson juga sudah menjalani latihan tetapi secara bersendirian sementara Alberto Moreno telah menyertai latihan berpasukan sejak semalam," kata Klopp.

Pengendali dari Jerman itu juga tidak dapat mengesahkan sebarang kenyataan mengenai Sturridge dan Keita selepas penyerang England itu dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Liverpool.

Keita telah sah menjadi milik Liverpool berkuatkuasa Jun depan tetapi sejak penghijrahan Philippe Coutinho ke Barcelona, spekulasi bertiup kencang bahawa The Kop akan cuba membawanya masuk lebih awal.

"Berdasarkan pemahaman saya, tiada apa yang boleh diperkatakan tentang kedua-dua pemain itu. Keita masih milik RB Leipzig dan anda tentu akan tahu lebih awal berbanding saya mengenai Sturridge.

"Pelbagai perkara boleh berlaku sebelum 31 Januari," tambahnya.