Arne Slot berkata dia mahu meninggalkan Feyenoord untuk mengambil alih tugas menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus Liverpool dan menjangkakan penyelesaian kepada rundingan antara kedua-dua kelab itu dalam "beberapa hari mendatang".

Liverpool membuka perbincangan dengan Feyenoord pada hari Rabu lalu selepas mengenal pasti Slot, 45 tahun, sebagai pilihan nombor satu mereka untuk menggantikan Klopp, yang akan berundur daripada jawatannya pada penghujung musim ini selepas hampir sembilan tahun di Anfield.

Bercakap kepada ESPN Belanda, Slot menyatakan bahawa dia berminat untuk mengambil peluang berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Liverpool.



"Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah kedua-dua kelab sedang berunding" kata Slot. "Dan kemudian anda duduk dan tunggu apa yang akan keluar.

"Nampaknya jelas bahawa saya ingin sertai Liverpool. Sekarang saya sedang menunggu untuk melihat sama ada kelab mencapai persetujuan. Saya sangat yakin dengan perkara itu."

Slot muncul sebagai calon utama untuk tugas Liverpool berikutan keputusan Xabi Alonso untuk kekal di Bayer Leverkusen dan minat kelab EPL itu untuk mendapatkan khidmat Ruben Amorim juga telah reda.