Bekas penyerang Brazil, Ronaldo, menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Real Madrid tetapi berasakan dia dipaksa untuk pergi selepas menghadapi masalah dengan pengendali ketika itu, Fabio Capell, mengenai berat badannya.

Ronaldo, yang telah bersama skuad The Galacticos sejak musim 2002-03, berpindah dari Inter Milan selepas mengharungi kempen Piala Dunia 2002 yang menakjubkan.

Sepanjang bersama Madrid, dia berjaya memperoleh dua gelaran LaLiga.

Bagaimanapun, Ronaldo akhirnya mendedahkan tentang konflik di antara dirinya dan Capello yang membuatkan dia pergi.

"Saya tidak mahu pergi. Saya mula menghadapi masalah dengan Capello. Jika saya terlebih 100 gram, dia pasti akan mengeluarkan saya daripada pasukan,” kata Ronaldo.

"Saya seorang yang bertoleransi, saya mahu memahami tentang setiap perkara. Namun, dengan Capello, saya tidak dapat memahaminya,” ujarnya.

"Saya faham tugasnya sebagai jurulatih tetapi dalam bola sepak, 100 atau 200 gram bukan sesuatu yang besar. Ia tentang apa yang anda mampu lakukan, apa yang anda sumbangkan,” katanya lagi.

Ronaldo, pemenang Ballon d'Or pada tahun 1997 dan 2002, turut berkata bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, pasti dapat menyaingi Lionel Messi dalam merebut anugerah pada tahun 2017.

"Tahun ini, saya memilih Cristiano Ronaldo sebagai pemenang Ballon D'or," ujar Ronaldo.

"Dalam dua tahun kebelakangan ini, dia sangat menakjubkan. Dia menjadi pemain penting dalam banyak perlawanan Liga Juara-Juara," katanya.