Teka-teki sama ada Petaling Jaya (PJ) City akan bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan atau tidak akhirnya terjawab apabila kelab itu mengumumkan tidak lagi akan bertanding.

Perkembangan itu diumumkan sendiri presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, sambil memaklumkan punca kelab itu menarik diri tidak ada kaitan dengan masalah kewangan.

Sebaliknya dia mendedahkan bahawa punca sebenar mereka menarik diri adalah disebabkan pasukan itu tidak mampu menyesuaikan diri dengan penstrukturan liga bermula musim depan seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Bayangkan dalam musim ini, kalau lima import kami sudah bergelut, inikan pula untuk musim depan yang mana bilangannya akan bertambah. Selain itu, ada perkara lain yang kami fikir tidak sesuai dan di luar kemampuan kami.

“Jangan salah faham, kami hormat dengan keputusan yang dibuat oleh badan pengelola liga sebelum ini kerana saya yakin mereka tahu apa yang terbaik buat bola sepak kita. Cuma kami tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

“Bagaimanapun, kami tetap menyumbang sesuatu bagi pembangunan bola sepak negara, cuma dengan cara yang berbeza dan bukan seperti sebelum ini,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar di QI Tower Petaling jaya yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PJ City, S. Ganesh.

Dalam pada itu, Subahan memberitahu pihaknya terbuka untuk berbincang sekiranya terdapat mana-mana kelab yang berminat untuk membeli pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi pemilik bar, termasuklah mereka perlu mengekalkan nama PJ City itu sendiri.

“Kami terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu untuk mengambil alih kelab ini. Kalau ada pihak yang berminat mereka boleh berhubung dengan CEO kami bagi membincangkan perkara tersebut.

“Selepas itu, kami akan bawa perkara itu ke pihak MFL bagi tindakan selanjutnya. Bagaimanapun, ada beberapa syarat yang kami letakkan bagi mereka yang mahu mengambil alih kelab ini.

“Setakat ini, kami masih belum dihubungi oleh mana-mana pihak yang berminat. Jika ada, kami akan memaklumkannya kemudian,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian