PKNP 5 KUANTAN 4

PKNP FC dipaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan Kuantan FA 5-4 dalam saingan pusingan ketiga Piala FA di Ipoh, malam ini.

Seawal minit kelima, PKNP mendahului 1-0 apabila pemain pertahanan Kuantan, Iskandar Zulkarnaen, tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran silang Shahrel Fikri.

Tuan rumah terus mengasak sehinggalah pada minit ke-24 yang menyaksikan Muhammad Fadhli Idris menghukum pertahanan lawan untuk menyumbat gol kedua PKNP.

Seterusnya giliran Shahrel menambah derita Kuantan menerusi larian cantik disusuli tendangan melencong sempurna untuk menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Sheril Anuar, untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Berselang lima minit, kedudukan menjadi 4-0 apabila tendangan Vincent Lucas menerjah jaring Kuantan.

Sebelum babak pertama berakhir, The Seagulls berjaya mengurangkan defisit apabila Ljuba Baranin menyempurnakan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan 10 orang dalam baki 45 minit apabila pemain Kuantan, Iskandar Zulkarnaen, dan pemain PKNP, Ritus Krjauklis, dilayangkan kad merah pada minit ke-60 dan 68.

Anak buah Abu Bakar Fadzim semakin tertekan sebaik gol kedua Kuantan menyusul menerusi ketua pasukan, Abdul Malik Mat Ariff, pada minit ke-78 dan kedudukan menjadi 4-3 apabila Baranin menyempurnakan satu lagi sepakan penalti ekoran kekasaran Mohd Fazli Zulkifli ke atas Abdul Malik.

Kuantan terus mempamerkan magis apabila mengikat kedudukan 4-4, dua minit memasuki masa kecederaan.
Namun, PKNP tidak mudah menyerah kalah apabila Shahrel Fikri menanduk masuk gol kemenangan pada minit-94 untuk mereka melangkah ke peringkat suku akhir.

100317 kuantan fa 2017