MANCHESTER UNITED 3 EVERTON 1

Marcus Rashford berasakan bahawa dia sedang berada di kemuncak prestasi selepas memperagakan satu lagi persembahan cemerlang dalam kemenangan Piala FA ke atas Everton.


Selepas menjaringkan gol buat Manchester United dalam empat perlawanan terdahulu, Rashford bagaikan seorang pemain yang penuh keyakinan ketika dia mengucar-ngacirkan benteng Everton untuk memainkan peranan dalam ketiga-tiga gol bagi membantu United menewaskan Toffees 3-1 di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Dia membuka ruang untuk gol pembukaan Antony ketika permainan baru berusia empat minit dan sungguhpun Conor Coady sempat menyamakan kedudukan selepas itu, gerakan menarik Rashford dari sayap kiri membuatkan pemain lawan tertampan bola ke dalam gawang sendiri untuk meletakkan United 2-1 di depan menuju rehat.



Rashford kemudian menyempurnakan persembahan cemerlangnya menerusi sepakan penalti lewat selepas Alejandro Garnacho dijatuhkan oleh Ben Godfrey untuk menjadi pemain United pertama sejak Wayne Rooney (2012) yang merekodkan gol dalam tujuh penampilan berturut-turut di tempat sendiri.

Selepas membawa United ke pusingan keempat, Rashford percaya dia menghampiri kemuncak prestasinya dengan memberitahu ITV: "Ini mungkin prestasi terbaik yang pernah saya alami.

"Saya berasa baik di atas padang dan saya berada di kedudukan tepat untuk menyumbat gol.

"Jika mereka terus mencipta peluang maka saya mampu terus mencetak gol."