MALAYSIA 0 VIETNAM 2

Perjuangan Harimau Muda dalam Piala Asia B-23 tamat lebih awal apabila tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan D di Doha, Qatar sebentar tadi.

Selepas tewas 0-2 kepada Uzbekistan dalam aksi pertama pada Rabu lalu, skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu sedar mereka tiada pilihan selain memenangi aksi kali ini tetapi perkara sebaliknya berlaku.

Vietnam berhasil menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-39 hasil sepakan percuma lencong Khuat Van Khang susulan tindakan Ubaidullah Shamsul Fazili menarik pertahanan lawan di kawasan bahaya.

Skuad negara kemudian memberikan respons segera untuk mencari gol penyamaan, antaranya menerusi tandukan Fergus Tierney yang melewati palang gol.

Aksi dalam babak kedua menyaksikan Harimau Muda meneruskan corak menyerang tetapi rentak berkenaan sekali lagi terbantut selepas Vietnam dihadiahkan sepakan penalti, juga gara-gara kekasaran dilakukan Ubaidullah kepada pemain lawan.

Vo Hoang Minh Khoa kemudian tidak mensia-siakan peluang itu untuk memberikan Vietnam lebih keselesaan dengan menyudahkan tendangan penalti berkenaan pada minit ke-60.

Dengan keputusan itu, Vietnam sah melayakkan diri ke suku akhir hasil enam mata daripada dua perlawanan, sekali gus menutup peluang Malaysia.

Skuad negara seterusnya akan menutup kempen dengan menghadapi Kuwait dalam aksi terakhir Kumpulan D pada Selasa ini.