Skuad negara telah bermain baik dalam babak pertama dan boleh bangkit dalam babak kedua, kata pakar jemputan Astro Arena, Razman Roslan dan Mahali Jasuli, selepas skuad negara ketinggalan 0-1 kepada Vietnam dalam separuh masa perlawanan kedua Kumpulan D, Piala Asia B-23 di Doha Qatar ketika ini.

Mereka beranggapan skuad muda negara itu telah melakukan siri percubaan berbahaya ke gawang lawan dan yakin Harimau Muda mampu bangkit seandainya corak permainan seperti tu dapat dikekalkan.

"Mahali berkata: "Memang banyak perubahan daripada segi serangan yang kita dapat lihat (sepanjang separuh masa pertama).

"Kita beraksi dengan baik di bahagian serangan, di mana kita kerap menyukarkan pertahanan Vietnam.

"Kalau kita lihat, kita ada lima percubaan walaupun tidak tepat tetapi bagi saya, ia adalah serangan yang berbahaya daripada pasukan kita.

"Kalau kita lebih tajam lagi, saya percaya kita boleh menjaringkan gol."

Razman menambah: "Daripada segi penguasaan bola mungkin kita lebih rendah daripada Vietnam tetapi daripada segi percubaan, kita lebih melakukan serangan dan kita ada penyudah, cuma perlu lebih tajam di depan gol.

"Kadangkala hantaran terakhir dan keputusan yang kita ambil tidak tepat."