Skuad B-19 tahun negara dituntut mengekalkan persembahan positif apabila berdepan Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan C Kejuaraan Piala ASEAN B-19 2024 di Stadium Bung Tomo, Surabaya, petang ini.

Mengakui semangat pemain-pemain Harimau Muda B-19 berada di tahap terbaik, pengendali negara, Juan Torres Garrido, juga mahu anak buahnya memanfaatkan sepenuh peluang beraksi di pentas tertinggi karier bola sepak mereka.

"Dan berdepan Thailand, sekali lagi kami mahu pemain-pemain melupakan dua kemenangan lalu, sebaliknya meningkatkan kualiti permainan masing-masing bagi memburu keputusan positif," katanya.

Mengenai percaturan taktikal berdepan skuad Gajah Perang Muda kendalian Emerson Pereira da Silva itu, Garrido berkata: "Kami akan melakukan percaturan taktikal yang sama bagi memastikan pasukan sentiasa dapat membentuk keseimbangan sepanjang beraksi dalam kejuaraan ini."




Malaysia kini memimpin Kumpulan C dengan enam mata diikuti Thailand (enam mata yang dibezakan jaringan), manakala Singapura ketiga dan Brunei keempat.

Harimau Muda B-19 yang tampil dengan status penyandang juara membuka gelanggang di Surabaya dengan kemenangan 11-0 ke atas Brunei diikuti kemenangan 5-0 terhadap Singapura.

Anak buah da Silva pula menyingkap kempen dengan kemenangan 2-1 kelab atas Singapura sebelum membelasah Brunei 6-0.

Kredit: Sinar Harian