Skuad kendalian Pau Marti terus memberikan kekecewaan buat skuad bola sepak Filipina apabila mengatasi The Azkals dalam aksi Pestabola Merdeka 2024 malam tadi.

Keputusan 2-1 yang dicatatkan Malaysia ke atas FIlipina terus menyambung rekod buruk skuad The Azkals apabila terus gagal mencatat kemenangan dalam aksi antarabangsa.

Untuk rekod, skuad bola sepak Filipina gagal meraih sebarang kemenangan dalam 8 aksi terakhir mereka di peringkat antarabangsa di mana menyaksikan kemenangan terakhir mereka adalah pada 15 Oktober 2023 dengan mengatasi Kyrgyzstan 1-0.

Selepas itu, pencapaian terbaik mereka hanyalah sekadar seri 1-1 bertemu Indonesia dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 21 November 2023.

Harapan mereka untuk bangkit daripada kemarau kemenangan turut dinafikan skuad Harimau Malaya malam tadi dengan kekalahan yang semestinya sukar diterima.

Filipina yang kini dibimbing jurulatih Norman Fegidero telah kehilangan khidmat jurulatih sebelumnya, Tom Saintfiet yang melepaskan jawatan pada 29 Ogos 2024 hanya selepas 6 bulan menggalas tugasnya.

Terdahulu, Harimau Malaya menewaskan The Azkals 2-1 hasil jaringan Syamer Kutty dan sepakan penalti Safawi Rasid manakala Filipina memperoleh jaringan menerusi gol sendiri Feroz Baharudin.

Malaysia akan turun bertemu Lubnan pada Ahad, 8 September 2024 untuk penentuan perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.