Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengakui perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) masih belum berada dalam genggaman Arsenal walaupun berjaya merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Liverpool, selepas kemenangan 3-1 mereka ke atas Brentford, awal pagi tadi.

The Gunners kini hanya ketinggalan dengan jurang enam mata di belakang pasukan bimbingan Arne Slot, dengan kemenangan mereka hasil jaringan Gabriel Jesus, Mikel Merino, dan Gabriel Martinelli yang meranapkan impian Brentford walaupun Bryan Mbeumo terlebih dahulu menyumbangkan jaringan awal.








Menurut analisis Opta, Arsenal hanya mempunyai peluang sebanyak 9.5% untuk memenangi gelaran Liga Perdana pertama mereka sejak musim 2003-2004 dengan Arteta seolah-olah bersetuju dengan ramalan itu.








"kami hanya boleh memenangi perlawanan seterusnya dan lihat apa yang akan berlaku. Ia bukan di tangan kami, tetapi apa yang ada di tangan kami, kami perlu memastikan kami melakukannya." katanya.