Pasukan yang berpangkalan di Sarawak, Machan FC, sah menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro, sekali gus mengucapkan selamat tinggal apabila impian untuk meneruskan penggantian slot yang ditinggalkan Sarawak United itu pada tahun lalu tidak kesampaian.

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook yang diumumkan oleh presidennya, Azizi Fauzi, tatkala kekangan dana yang menjadi punca kepada perjalanan kelab tersebut mengharungi cabaran liga.



Kos pengangkutan menjadi sebab utama Machan terpaksa melupakan hasrat terhadap aksi seterusnya apabila mendedahkan hampir RM800,000 telah dibelanjakan menerusi penerbangan untuk ke venue lawan di samping kos perjalanan semakin meningkat.

Sebelum ini, kelab tempatan di bawah seliaan Parlimen Kanowit itu telah menggunakan dana sendiri sepanjang liga berlangsung meskipun sudah memohon dana daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, namun harus akur terhadap keputusan Menteri yang menjelaskan bahawa perkara tersebut bukan menjadi keutamaan.