Mungkin ramai yang berperasaan perlawanan minggu ke-26 Liga Super musim 2023 tidak banyak signifikan yang tinggal dengan kebanyakan kedudukan dalam carta liga sudah pun disahkan.

Tapi, sabar dulu. Masih ada yang belum dimuktamadkan dan kerana itu ia tetap menjadi cabaran buat beberapa pasukan – tidak berbeza dengan cabaran kepada diri saya sendiri sebagai seorang kolumnis.

Ya, selepas sekian lama mengulas mengenai saingan bola sepak Eropah, terutama Liga Perdana Inggeris (EPL), saya akan berkongsi tumpuan pula kepada bola sepak tempatan – sesuatu yang saya sudah agak terbiasa sebagai pengulas siaran langsung di Astro Arena.

Tumpuan perlawanan pada 16 dan 17 Disember ini tentunya kepada pertemuan Sabah FC-Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Ahad ini.

Ia bakal menjadi cabaran terbesar pada penghujung musim buat Nafuzi Zain dan KDA FC. Selepas kecewa gagal muncul naib juara liga dan slot Asia yang menjadi idaman mereka setelah ditundukkan Selangor FC 1-0 di gelanggang sendiri 2 Disember lalu, untung nasib skuad Kenari masih belum ketentuan.

Meski di tangga ketiga dengan 53 mata ketika ini, mereka masih boleh dipintas Sang Badak yang cuma ketinggalan dua mata dan memiliki kelebihan gelanggang sendiri untuk terus mengecewakan lawan.

Sebagai perbandingan, Sabah menamatkan musim 2022 di tangga ketiga di belakang Johor Darul Taa’zim (JDT) dan Terengganu FC manakala KDA FC sekadar di tangga kelapan ketika di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak ketika itu.

Namun, kunjungan Nafuzi dan anak-anak buahnya ke Kota Kinabalu, Ahad ini akan menuntut jurulatih itu -- yang mengecap kegemilangan bergelar naib juara serta meraih slot Asia bersama Terengganu FC musim lalu -- memuncakkan semula semangat pemain-pemainnya menyempurnakan satu tugas terakhir.

Cuma, mereka tidak boleh berharap untuk berdepan lawan yang mudah pada Sabah FC, yang sedang membara selepas menjuarai kumpulannya dalam saingan Piala AFC hasil kemenangan 4-1 ke atas Hougang United, Singapura di Stadium Jalan Besar, 30 Nov lalu.

Sabah FC yang boleh berperanan sebagai ‘kingmaker’ andainya KDA FC menang ke atas Selangor FC tempoh hari, sebaliknya kini boleh menjadi pemusnah saki-baki harapan lawan itu yang kesudahannya mungkin terpaksa berpuas hati di tangga keempat sahaja.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, awal-awal lagi sudah mengumumkan matlamatnya mengekalkan tangga ketiga seperti musim lalu dan dengan gandingan penyerangnya, Ramon Machado, Darren Lok dan Saddil Ramdani terus berbisa, jangkaan tiga mata terakhir bukanlah keterlaluan.

Ramalan saya ialah Sabah, yang boleh menjangkakan stadium penuh untuk perlawanan penting ini, akan unggul.

Tdak hanya Sabah FC, dua pasukan lain yang masih berpeluang memperbaiki kedudukan ialah Perak FC dan PDRM FC – kedua-duanya bagaimanapun harus melakukan perhitungan di tempat lawan Ahad ini, Perak mengunjungi Terengganu FC manakala PDRM FC ke gelanggang Selangor FC.

The Cops, di tangga kelapan ketika ini dan mengatasi matlamat awal musim mereka, mampu meningkat sekurang-kurangnya setakuk lagi jika menang sambil skuad The Bos Gurus bimbingan Yusri Che Lah boleh memintas Penang FC untuk meraih tangga ke-10.

PDRM FC menang dua daripada tiga pertemuannya dengan Selangor FC sepanjang musim ini manakala Perak FC tewas 0-3 kepada Terengganu di Ipoh pada 3 Jun lalu tapi menepati perlawanan terakhir yang menuntut semua pasukan berhabis-habisan, apa saja berkemungkinan.