Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memfailkan aduan undang-undang berhubung "ejekan perkauman dan diskriminasi" oleh pemain Argentina dalam nyanyian mereka selepas final Copa America, yang ditujukan kepada pasukan Perancis.

Argentina menewaskan Colombia 1-0 dalam aksi final di Amerika Syarikat hujung minggu lalu.

Selepas itu, menerusi satu video Instagram oleh pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez, dan kemudian ditonton secara meluas di X, menunjukkan pemain Argentina menyanyi dengan ejekan buat pemain Perancis yang berdarah warisan Afrika.

Fernandez kemudiannya memohon maaf kerana turut menyanyikan lagu yang dipaparkan dalam video itu.

Laungan yang sama -- oleh beberapa peminat Argentina -- turut muncul sebelum Perancis dan Argentina bertemu dalam final Piala Dunia dua tahun lalu, yang kemudian dimenangi Argentina.

"Memandangkan keseriusan terhadap perkara yang mengejutkan ini, yang bertentangan dengan nilai sukan dan hak asasi manusia, presiden FFF telah memutuskan untuk menghubungi rakan sejawatannya dari Argentina dan FIFA secara langsung untuk memfailkan aduan undang-undang bagi ejekan perkauman dan diskriminasi," kata FFF dalam satu kenyataan.

"Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Philippe Diallo, mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan perkauman dan diskriminasi yang tidak boleh diterima terhadap pemain pasukan Perancis sebagai sebahagian daripada lagu yang dinyanyikan oleh pemain dan penyokong pasukan Argentina."