Bekas penyerang Kedah Darul Aman, Zaquan Adha Abdul Radzak, percaya prestij Liga Super musim 2024-25 akan kekal terpelihara dengan pembabitan skuad Sang Kenari itu.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu mengakui Kedah memiliki sejarah hebat dalam arena bola sepak tempatan tetapi berharap isu tunggakan gaji tidak lagi akan membelenggu pasukan itu.

Semalam, badan bebas, First Instance Body, mengesahkan Kedah sudah menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawainya bagi tahun 2023, sekali gus membolehkan pasukan itu kekal mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super musim ini.

"Sejak lahir lagi saya sudah mengenali pasukan Kedah dan setiap pasukan negeri yang ada," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Sepatutnya, bagi saya, setiap pasukan negeri perlu ada dalam Liga Malaysia kita kerana jika ada negeri yang tiada pasukan dalam liga kita, saya rasa ia tidak cukup mengujakan.

"Apatah lagi Kedah, sebuah pasukan yang besar dan dikenali. Mereka memiliki penyokong yang ramai.

"Jadi, baguslah Kedah masih lagi dapat bermain dalam liga kita, cuma setiap pasukan perlu mengambil peringatan dengan apa yang telah berlaku ini. Jangan ambil mudah mengenai gaji dan kebajikan pemain.

"Saya rasa ia sesuatu yang bagus untuk MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan liga kita dalam membendung sebelum perkara ini lebih teruk," katanya.