Padang menjadi medan buat barisan Kuala Lumpur City melepaskan tekanan di sebalik isu gaji yang melanda pasukan itu.

Ia episod menyedihkan apabila mengenangkan keringat yang diperah dinafikan hak enam mata, malah ia adalah hukuman bukan di atas kesalahan pemain atau pasukan itu sendiri.

Sebaik ada usaha untuk menebus semula enam mata yang hilang, pertahanan import KL City, Giancarlo Gallifuoco, rasa dihargai.

"Selepas bergelut mengenai kewangan, pemotongan enam mata itu ibarat hukuman berganda.

"Kalau MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan kelab boleh selesaikan perkara ini, saya harap mata ini boleh dipulangkan.

"Kami telah mengalahkan Selangor dan kejayaan itu rampas.

"Saya harap hukuman ini dibertimbangkan semula dan pulangkan mata-mata itu semula kepada kami," katanya.

Senada dengan rakan sepasukan, kapten The City Boys, Paulo Josue, menganggap ia sebagai berita gembira selepas pemotongan enam mata memberi kekecewaan besar dalam situasi mereka tidak bergaji sebelum ini.

"Walaupun menderita tanpa gaji, kami telah berjuang untuk mendapatkan keputusan memberangsangkan tapi akhirnya ditolak enam mata.




"Walaupun ia adalah denda kepada kelab tapi sebagai pemain kami juga menderita.

"Di sebalik bergelut, kami tetap turun ke gelanggang latihan, mengkaji pasukan dan melakukan analisis rakaman.

"Kami fokus mengenai aspek padang," katanya.