Virgil van Dijk mengakui Liverpool kesilapan ketika merakamkan keputusan mengecewakan ketika bertemu Real Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL) semalam, tetapi berpendapat penyokong seharusnya tidak boleh menjangkakan prestasi mereka seperti robot.

Liverpool meledakkan dua gol pendahuluan di Anfield tetapi tersungkur 2-5 kepada penyandang juara berkenaan dalam pertembungan pertama pusingan 16 itu.

Di tengah-tengah musim yang sukar buat pasukan kendalian Jurgen Klopp itu, mereka bakal berdepan laluan berliku di Madrid biarpun dibayangi persembahan perlawanan akhir UCL tahun lalu yang menyaksikan Los Blancos menang 1-0 di Paris.

Van Dijk enggan berselindung dengan prestasi semasa mereka, namun pertahanan tengah itu menegaskan kesilapan sememangnya sudah dijangka memandangkan pemain hanyalah manusia biasa.

“Dalam kancah UCL, terdapat pemain berkualiti dalam seluruh pasukan,” katanya kepada pemberita.

"Mereka mampu menghukum anda dan mampu menghukum kesilapan yang anda lakukan.

"Itulah yang mereka lakukan dalam babak kedua dan ia cukup jelas untuk dilihat.

"Terdapat kesilapan yang tidak sepatutnya kami lakukan tetapi ia boleh berlaku dalam bola sepak.

"Kami bukannya robot, kadang-kadang kesilapan berlaku. Begitulah ceritanya.

"Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan ialah belajar daripadanya dan fokus dalam perlawanan seterusnya bagi memastikan ia tidak berulang lagi."